Jawapan Kemusykilan Agama


Apa Hukum.melabur Dalqm.bit Coin?


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,

Merujuk kepada soalan anda, belum ada perbincangan khusus oleh Muzakarah Fatwa berkenaan dengan penggunaan bitcoin sebagai alat dagangan. Kami berpandangan bahawa penggunaan bitcoin ini adalah sama hukumnya dengan hukum forex secara online kerana ia melibatkan platform dagangan elektronik (traders online) seperti berikut:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut.

2. Syarat-syarat umum jual beli:

a. Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);

b. Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;

c. Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnyaoleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;

d. Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

3. Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:

a. Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platfom forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;

b. Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan

c. Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart

4. Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

5. Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

6. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak.  



Wallahu a'lam