Bagaimanakah Kesan Dakwat Kekal(indelible Ink) Yang Digunakan Untuk Celup Jari Semasa Pilihanraya Untuk Solat Adakah Ianya Menyebakan Sah Solat Kita Atau Batal? Sebabnya Ia Akan Tertanggal Selang Beberapa Hari. Mohon Penjelasan. Terima Kasih.
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahanbahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam. Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.
Wallahu a'lam