Solat Jemaah Suami Isteri
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,
Jika seorang perempuan itu menjadi makmum kepada orang lelaki, sama ada lelaki tersebut adalah ayahnya, abang, adik, atau suaminya, maka kedudukan saf bagi wanita itu adalah di belakang imam. Ini juga bertepatan dengan nas yang turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang mengatakan :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ أَوْ خَالَتِهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami.
Riwayat Muslim (1056)
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan. Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, Al Nawawi (3/132).
Di dalam kenyataannya yang lain Imam Al-Nawawi mengatakan: Para ashab kami mengatakan: Kesemuanya ini (susunan solat) hukumnya adalah mustahab (sunat) dan menyelisihinya adalah makruh namun tidak membatalkan solat.
Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Hawi Al-Kabir (2/340) menukilkan kenyataan Imam Al-Syafie yang berkata: Apabila seorang lelaki menjadi imam, maka makmum (lelaki) berdiri di bahagian kanannya. Sekiranya makmum tersebut merupakan khunsa musykil atau perempuan maka setiap seorang dari mereka berdiri di belakangnya (imam) secara bersendirian.
Sekiranya seorang lelaki menjadi imam kepada seorang sahaja wanita, maka perempuan tersebut berdiri di belakangnya dan bukannya di sebelahnya. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W :
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya : Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan.
Riwayat Muslim (440)
-Sumber dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Wallahu a'lam