Jawapan Kemusykilan Agama


Pakai Barangan Terukir Nama Allah Ke Dalam Tandas


Ukir nama Allah waduq pada cincin dan masuk tandas untuk qada hajat

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,

Di sini panel sertakan jawapan yang telah dsediakan oleh Pejabat Mufti Wilayah berkenaan persoalan yang dikemukakan. 

Hukum Memakai Cincin Yang Tertera Kalimah Allah Dan Muhammad

Berkenaan isu ini, jika kita merujuk kepada nas-nas daripada Nabi S.A.W maka kita akan menemui riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh beliau berkata:

كَانَ نَقْشُ خَاتَمِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثَلاَثَةَ أَسْطُرٍ مُحَمَّدٌ سَطْرٌ وَرَسُولُ سَطْرٌ وَاللَّهِ سَطْرٌ 

Maksudnya: Adalah ukiran pada cincin Nabi S.A.W terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah Rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah Allah.

Riwayat Al-Tirmizi (1748)

Berdasarkan riwayat di atas, maka diharuskan bagi seseorang itu untuk memakai cincin yang tertera padanya kalimah Allah atau Rasulullah. Ini selama mana dia memeliharanya dari perkara-perkara yang boleh dianggap menghina dan mencemarkan kemuliaan nama-nama tersebut.

Memakai Cincin Yang Terdapat Kalimah Allah Atau Muhammad Di Dalam Tandas

Berkaitan isu ini, terdapat petunjuk daripada Nabi S.A.W berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas, baginda akan menanggalkan cincinnya.

Riwayat Ibn Majah (303)

Berdasarkan hadis ini, para fuqaha menyatakan beberapa pandangan. Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Apabila seseorang itu hendak masuk ke dalam bilik air dan terdapat bersamanya sedikit daripada sebutan nama Allah maka disunatkan untuknya membukanya. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/167).

Kata Imam Al-Mardawi dari kalangan pembesar mazhab Hanbali: Pendapat yang sahih dalam mazhab (Hanbali): Makruh bagi seseorang itu masuk ke dalam bilik air dengan membawa sesuatu yang terdapat padanya nama Allah. Lihat Al-Insaf, Al-Mardawi (1/94-95).

Kata Al-Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Mubarakfuri apabila mensyarahkan hadis ini: Apabila Rasulullah S.A.W hendak masuk ke dalam bilik air baginda menanggalkan cincinnya daripada jarinya.

Beliau juga turut menukilkan kata-kata Al-Syeikh ‘Ali Al-Qari yang mengatakan: Ini kerana ukirannya (cincin) adalah Muhammad Rasulullah. Dan pada hadis ini menunjukkan bahawa orang yang sedang beristinja’ itu perlu menanggalkan sesuatu yang terdapat nama Allah, nama Rasul-Nya, dan juga ayat al-Quran. Kata Ibn Hajar: Faedah yang diperoleh adalah disunatkan bagi sesiapa yang ingin menunaikan hajatnya (membuang air) untuk menanggalkan semua yang terdapat pada dirinya dari sesuatu yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama Nabi. Sekiranya dia menyelisihinya maka perbuatan itu adalah makruh. Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (5/3480).

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mengulas berkenaan hadis ini beliau berkata: Hadis Anas ini merupakan sebuah hadis yang masyhur. Adapun hukum berkenaan permasalahan ini maka para ashab kami (Syafieyyah) telah sepakat akan sunatnya menanggalkan apa-apa yang terdapat nama Allah padanya ketika seseorang itu mahu masuk ke dalam bilik air dan ianya tidak wajib ditanggalkan. Di antara yang menyatakan secara sarih (jelas) bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Shirazi), serta gurunya al-Qadhi Abu Al-Thayyib. Kata Al-Mutawalli dan Al-Rafi’e dan selain keduanya: Tidak ada beza di antara ianya tertulis di atas dirham, dinar, atau cincin, dan selainnya. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/73).

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa pandangan yang disebutkan oleh para fuqaha di atas, maka kami menyatakan: Hukum memakai cincin yang terdapat padanya kalimah Allah atau Rasulullah di dalam tandas adalah MAKRUH. Disunatkan untuk seseorang itu menanggalkan cincin tersebut terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam bilik air.

Wallahu a'lam