Jawapan Kemusykilan Agama


Hukum Kenduri Arwah Untuk Tahlil 1,2,3,7,40,100 Hari...juga Hukum Membuat Kepuk Kubur


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,

1. Mengadakan kenduri tahlil untuk arwah

Semua ajaran Islam adalah penting dan memberikan mizan (timbangan) di akhirat nanti. Oleh itu hendaklah kita masuk ke dalam ajaran Islam semuanya, tanpa menerima separuh dan menolak separuh yang lain. Ulama silam telah bersepakat kata, termasuk ahli fuqaha’ dari empat mazhab bahawa:

a) Makruh dan bid’ah apabila ahli si mati memasak dan menjamu makanan kepada orang ramai yang berhimpun di rumah mereka.

b) Sunat dan digalakkan kepada jiran tetangga  dan kepada kaum kerabat si mati memasak dan memberi makan kepada ahli si mati, bukan mereka (ahli si mati) yang menjamu makanan kepada jiran dan orang ramai.

c) Perhimpunan kenduri memberi makan pada malam pertama selepas kematian, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya semuanya itu hukumnya makruh dan dicela oleh syarak. Amalan dan perbuatan itu dinamakan “ كفارة   dan  وحشة.”

Tidak ditemui seorang ulama pun yang hukumnya sunat bagi ahli si mati memberi makan kepada orang ramai selepas berlaku kematian sebagaimana yang telah teradat dalam masyarakat kita bahkan semuanya mengatakan bid’ah dan makruh, termasuk ulama-ulama besar dari Mazhab Syafie seperti Imam Nawawi, Imam Shirazi, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni, Syeikh Muhammad Abdullah Al-Banjari dan lain-lain 

2. Membina kepuk kubur

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama. Tujuan asasnya adalah supaya tanah tidak roboh, bagi membezakan antara tanah kubur dan bukan, agar tidak dipijak dan menjadi jalan. Jika binaannya rendah dan tidak menunjukkan kepada pembaziran, tetapi sekadar membuat orang mengenali kubur tertentu di samping menjaga kebersihannya, maka kami cenderung hukumnya ialah harus. Kami berpendapat bahawa binaan kepok di kubur yang berlebih-lebihan adalah tidak dibenarkan bahkan bercanggah dengan sifat Islam yang sebenar. Seorang pujangga menyebut

أبى أهل القُصور إِذا أُميتوا ... بَنَوْا فوق المقابر بالصخور
أبو إِلاّ مباهاةً وفخراً ... على الفقراء حتى في القبور

Engganlah golongan yang mewah apabila mati
Membina atas kubur itu batu-bata
Kecuali untuk bermegah-megah dan menunjuk
Kepada orang yang fakir walaupun di dalam kubur. [1]

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan : http://www.muftiwp.gov.my/index.php


Wallahu a'lam