Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh. Hukum Bacaan Dalam Solat, (cth: Al Fatihah), Perlukah Ada Suara Ataupun Cukup Sekadar Berbisik Angin Asalkan Kita Dengar?
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,
Rukun Qauli (Bacaan-Bacaan Yang Wajib) dalam Solat
Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir dan salam, melafazkannya dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.
Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.
Oleh itu, adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.
Wallahu a'lam