Jawapan Kemusykilan Agama


Wanita Yang Sudah Bersuami Dimanakah Letaknya Syurga.. Sdakah Di Telapak Kaki Ibunya Lagi Ke..


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,

Seorang wanita apabila ia telah menjadi seorang isteri, ketaatannya berpindah daripada kedua ibu bapa kepada pihak suami.

Ini berdasarkan hadis dari Aisyah yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?”. Jawab Nabi; “Suaminya”. Aku bertanya lagi; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?”. Jawab Nabi; “Ibunya”. (HR al-Hakim dan beliau mensahihkannya)

Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta'at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. 

Oleh itu, taatlah kepada suami dan terus berada di sisinya selama mana arahan suami itu tidak bertentangan dengan syariat. 



Wallahu a'lam