Bolehkah Saya Membayar Wang Untuk Kedua Ibubapa Saya Mengerjakan Umrah
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah swt,
Berkemampuan atau kuasa merupakan salah satu syarat Wajib Haji. Jika ia tidak boleh dipenuhi, maka haji tidak wajib baginya pada waktu tersebut (sehinggalah tiba keadaan yang seseorang itu mampu). Namun demikian, jika ada pihak-pihak yang tertentu yang ingin menaja (sponsor) perbelanjaan haji, maka bolehlah (sah) ia menunaikan Haji dengan menggunakan wang tersebut. Memetik fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa tetap Fatwa Saudi sehubungan dengan hal ini :
"Kesahihan menunaikan Haji tidak terhalang jika beliau tidak membelanjakan keseluruhan Haji dengan duitnya sendiri, atau beliau hanya berbelanja dengan sedikit wang beliau dan orang lain membiayai perbelanjaan Haji. Maka jika haji tersebut mencukupi syarat keperluannya dan beliau melakukan semua syarat dan rukun haji secara sempurna, maka beliau telah menunai KEWAJIBAN Haji, walaupun orang lain yang membiayai perbelanjaannya." -(Fataawa Al-Daa’imah, 11/34)
Oleh yang demikian, sekiranya ibadat Haji sah jika dibiayai oleh pihak tertentu, maka umrah juga Sah jika dibiayai oleh individu lain apatah lagi oleh anak sendiri untuk ibu bapanya.
Wallahu a'lam